Kisah Kejayaan

Kisah Kejayaan- Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar

 

Latar belakang

Tan Sri Mustapha adalah seorang bekas penuntut Universiti Malaya dalam jurusan Sejarah. Selepas menamatkan pengajian dari Universiti Malaya pada tahun 1970, beliau telah memulakan kerjaya dalam perkhidmatan Kerajaan di Pejabat Daerah dan Tanah Selangor sebagai Penolong Pegawai Daerah sehingga dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tanah & Galian Selangor. Kemudian beliau beralih ke sektor swasta di mana beliau telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Shah Alam Properties Sdn. Bhd.

Pada peringkat kerjaya inilah beliau mula memperkukuhkan pelbagai kemahiran, pengetahuan, pengalaman dan kecekapan yang diperlukan dalam pembangunan hartanah sehingga beliau mempunyai keyakinan sepenuhnya untuk memulakan usaha perniagaan sendiri. Ini telah mendorong beliau menubuhkan Kumpulan Syarikat EMKAY pada tahun 1983.

Berbekalkan pengalaman sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tanah dan Galian serta pengalaman selama kira-kira 21 tahun dalam industri pembangunan hartanah, Tan Sri Datuk Hj Mustapha Kamal dikenali sebagai seorang Pengerusi Eksekutif yang aktif dan praktikal, dalam menyelia dan menentukan sendiri hala tuju operasi Kumpulan dengan merangka wawasan serta matlamat, pada masa yang sama, mencurahkan pengetahuan luas yang beliau miliki dalam industri kepada kakitangannya.

Tan Sri juga banyak memberi sumbangan kepada industri hartanah tempatan dan antarabangsa. Antara lain, beliau adalah Pengarah South-South Corporation Berhad(MASSCORP) ahli jawatankuasa Eksekutif Persatuan Selatan-Selatan Malaysia (MASSA) dan Penyelaras Negara bagi Afrika.

Pada 15 Mac 2004, Tan Sri telah dianugerahkan dengan pengiktirafan “Professor Adjung” oleh Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. Beliau juga menganggotai Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kepimpinan Perdana.

 

Latar Belakang Perniagaan

TAN Sri Mustapha Kamal Abu Bakar adalah Pengerusi Eksekutif, MK Land Holdings Berhad, iaitu syarikat pembangunan hartanah yang ditubuhkan pada 2 Ogos 1978 dan disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 8 Jun 1992.

Asalnya, MK Land Holdings Berhad dikenali sebagai Perfect Food Industries Sdn. Bhd. yang melibatkan diri dalam pembuatan dan penjualan biskut dan bahan makanan melalui kilang mereka di Melaka. Selepas penyenaraiannya di BSKL, ia dikenali sebagai Perfect Food Industries Berhad dan akhir sekali, namanya ditukar kepada MK Land Holdings Berhad pada 27 Ogos 1999.

Namun, pada bulan Jun 2003, MK Land Holdings Berhad menjual semua sahamnya dalam Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd, Markins Corporations Sdn Bhd dan Fairway Review Sdn Bhd dengan harga RM6,739,674. Ini adalah kerana Tan Sri Mustapha bercadang mahu menumpukan perniagaan syarikatnya pada pembangunan hartanah dan pelaburan.

Beliau berjaya membawa status MKland selaku syarikat pengurusan Hartanah yg berjaya membangunkan kawasan-kawasan yg dahulunya agak terpencil dan tidak mendapat perhatian kepada kawasan elit yg lengkap dengan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi seperti kawasan Damansara Perdana, Cyberjaya. MKland juga terlibat dalam industri perhotelan dan tempat peranginan seperti Bukit Merah Laketown resort dan Langkawi Lagoon.

Beliau berani memulakan sesuatu yg baru dengan mengetengahkan cara hidup “e-lifestyle township” yg moden dan berteknologi tinggi di kawasan perumahan dibawah syarikat MKland. Bekas graduan Universiti Malaya ini berjaya meletakkan namanya didalam senarai 10 orang terkaya di Malaysia membuktikan kejayaan beliau dalam bidang hartanah

 

 

Projek-projek besar MK Land Holdings Berhad

Di bawah kepimpinan Tan Sri Mustapha, MK Land Holdings Berhad melibatkan diri dalam banyak projek. projek perumahan Damansara Perdana dan Damansara Damai, kedua-duanya di Petaling Jaya. Projek itu, dengan lokasinya yang strategik, iaitu dalam Segi tiga Emas Petaling Jaya. Kawasan itu kini muncul sebagai pusat membeli belah, fesyen, makanan dan hiburan dengan pusat membeli belah seperti One Utama, IKEA, Tesco, The Curve dan Cathay Cineleisure.

Selain itu, Taman Bunga Raya di kawasan Bukit Beruntung iaitu bernilai RM840 juta, projek perumahan Cyberia di Cyberjaya, projek Bukit Merah Laketown Resort di Taiping, Perak iaitu bernilai RM3 bilion dan Langkawi Lagoon.

Subsidiari dan syarikat bersekutu MK Land Holdings Berhad

BML Management Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam perniagaan perkhidmatan penyelenggaraan harta.

Bukit Merah Resort Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam operasi hotel, tempat peranginan dan taman tema air.

Dominant Star Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah, operasi hotel dan pelaburan.

Fairview Review Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah.

Golden Precinct Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam penyewaan dan penyelenggaraan hartanah.

MK Land Resources Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pengurusan hartanah dan pelaburan.

MK Land Ventures Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pelaburan dan urus niaga hartanah.

MK Development Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pelaburan dan urus niaga hartanah.

Prominent Valley Berhad, subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam operasi padang golf.

Pujaan Pastik Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam operasi hotel.

Segi Objective (M) Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah, hotel, tempat peranginan dan taman tema air.

Sumbangan Berkat Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam menguruskan hotel.

Tema Teladan Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah, operasi hotel dan pelaburan.

Vibrant Leisure Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah.

Zaman Teladan Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah.

Markins International (HK) Ltd., syarikat bersekutu MK Land Holdings Berhad dengan 14 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pengedaran bahan makanan.

Melur Unggul Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pengurusan hartanah.

 

 

Anugerah

Tan Sri telah diberikan beberapa anugerah sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar yang beliau curahkan sepanjang tempoh kerjaya beliau yang cemerlang. Antaranya, Anugerah Usahawan Cemerlang Selangor pada tahun 1995 oleh Dewan Perniagaan Melayu Selangor; FIABCI Property Man of The Year Award 1997 serta Anugerah Personaliti Cemerlang Industri Pembangunan Tahun 2001 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia.

Beliau juga telah menerima Anugerah Fellowship DPMMKL 2002 daripada D.Y.M.M Yang Di-Pertuan Agong dan Anugerah Khas Tokoh Maal Hijrah 2003 daripada Raja Muda Perak. Tan Sri juga telah dicalonkan untuk menerima Ernst & Young Entrepreneur Award  2002 dalam Kategori ‘Master Enterpreneur’. Tan Sri adalah bapa mertua kepada En Vernon Azhar Edmett bin Bryan Allen Edmett, seorang pengarah dalam Syarikat.

Kisah Kejayaan : Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin

Allahyarham  Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan Melayu di Malaysia. Beliau merupakan Pengarah Urusan Kumpulan Naza yang ditubuhkan pada 1979. Beliau terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan seperti perniagaan permotoran, hotel, perladangan, kejuruteraan, perkhidmatan pengangkutan, alat-alat mesin, pembuatan dan sebagainya.

Biografi

Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin yang lahir pada tahun 1955 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini sentiasa berminat terhadap kereta dan industri automobil. Beliau belajar di Sekolah Menengah Tuanku Muhammad, Kuala Pilah, Negri Sembilan.

Pada tahun 1974, ketika berusia 21 tahun, beliau menyimpan RM80,000 dalam akaun bank hasil gaji sebagai pembantu bapa beliau yang bekerja sebagai kontraktor. Beliau memulakan perniagaan automobil dengan satu peruntukan Permit Import (AP) untuk mengimport kereta buatan asing. Beliau meraih hasil sejuta ringgit pertama beliau dalam masa setahun.

Dalam satu temubual akhbar, apabila ditinjau kembali, Nasimuddin merasa diri beliau berjaya kerana beliau sudah bernikah sewaktu muda lagi dan berminat untuk menjalankan perniagaan sendiri. Kelebihan beliau ialah beliau adalah seorang lelaki sederhana dan bijaksana yang berjimat setiap sen yang ia terima dari orang tuanya sejak zaman persekolahannya lagi. Duit yang diterima ketika membantu ayahnya dalam perniagaan pembinaan dan kemudian dari pekerjaannya sendiri sebagai kerani.

Alam perniagaan

Beliau memperoleh jutaan pertamanya setahun kemudian dengan memohon Permit Import kerajaan untuk kereta dari Jepun.

Beliau dinyatakan berkata: “Saya sangat meminati kereta sejak remaja lagi. Sebab itulah saya berada dalam perniagaan ini. Perniagaan pembinaan ayah saya bukanlah minat saya.”

Memandangkan kecenderungan dan minat beliau kepada kereta dan industri automobil. Beliau bercadang untuk membawa kereta terpakai daripada Jepun. Tanpa bertangguh, dengan bermodalkan RM80,000, beliau memohon 20 AP dan berangkat ke negara matahari terbit dan menetap selama 3 bulan disana. Sekembalinya beliau daripada Jepun, beliau juga membawa pulang 20 kereta terpakai Jepun dan terus melakukan aktiviti pemasaran bagi memastikan kereta beliau terjual. Dalam masa 3 bulan, beliau berjaya menjual kesemua kereta tersebut.

Nasimuddin memulakan perniagaan kereta beliau dalam sebuah kedai di Taman Maluri, dan menjual 10 hingga 15 unit kereta sebulan. Pada tahun 1979, beliau membuka cawangan di Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk menggiatkan perniagaan peruncitan beliau, dan menjual 40 hingga 60 buah kereta sebulan.Nasimuddin bermula dengan hanya lima orang kakitangan dan kini jumlah mereka meningkatkan kepada kira-kira 4,000 orang.

Anugerah dan pengiktirafan

Sebagai penghargaan atas khidmat dan sumbangan beliau, Nasimuddin dikurniakan beberapa anugerah dan gelaran, termasuk Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang membawa gelaran Tan Sri. Nasimuddin juga meraih pingat khidmat industri Anugerah Presiden Korea Selatan, dari Son Sang-Ha duta negara tersebut ke Malaysia bagi pihak Presiden Korea Selatan, kerana sumbangan beliau kepada industri automotif. Beliau ialah rakyat Malaysia pertama yang meraih anugerah Korea tersebut.

Kematian

Nasimuddin meninggal dunia akibat barah paru-paru di Los Angeles, California, AS, pada pukul 1 Mei 2008, 9 pagi (waktu tempatan). Jenazah beliau diterbangkan kembali ke negara lalu selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Batu 9 Hulu Langat pada 4.30 petang, 4 Mei, bersebelahan kubur ibu beliau, Salbiah Abdul Majid.

Perniagaan

Kumpulan Naza, yang ditubuhkan pada 1979, mempunyai 14 bahagian perniagaan yang meliputi industri-industri seperti pengedaran rokok, kredit dan sewaan, kejuruteraan, hotel, insurans, alat ganti jentera, pengilangan, automotif, hartanah, pengangkutan, penanaman dan kenderaan air. Kumpulan Naza kini memegang hak francais Malaysia untuk kenderaan Kia dari Korea Selatan, dan Peugeot dari Perancis, serta juga permit import untuk kenderaan Mazda. Naza kini telah menjadi pengimport kenderaan mewah seperti Mercedes-Benz yang terbesar dan terpenting in Malaysia melalui usaha-usaha seperti Naza-Brabus.

Pada Ogos 2005, Naza membuka pintunya untuk dewan pameran automotif baru yang menjadi mercu tanda syarikat itu – Naza Auto Mall di Petaling Jaya, Selangor.

Kumpulan itu mempunyai pembangunan hartanah — TIDI Development Sdn Bhd – dan hotel di Malaysia, dan Los Angeles, termasuk Howard Johnson di Torrance dan Crowne Plaza Hotel di San Pedro, Los Angeles.

Nasimuddin juga merupakan pengasas kelab bola sepak Kuala Muda Naza FC yang bertapak di Kuala Muda, Kedah.

Beliau juga pernah merancang pembinaan kilang yang bernilai RM1.2 bilion di Bertam, Pulau Pinang.

Pada April 2008, beliau memasuki perniagaan makanan dengan melancarkan Bubba Gump Shrimp Co. Restaurant and Market di Malaysia.

Reputasi beliau sebagai seorang usahawan unggul tidak dapat dinafikan. Beliau sentiasa memanafaatkan peluang dan mengembangkan perniagaan beliau dari masa ke semasa. Antara tips kejayaan yg sempat beliau kongsi adalah sikap berjimat cermat dan sentiasa menyimpan keuntungan beliau untuk dilaburkan kembali supaya proses mengembangkan perniagaan beliau dapat dilaksanakan dengan jaya.

Kisah Kejayaan : Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary

LATAR BELAKANG TAN SRI SYED MOKHTAR AL BUKHARY

syedmokhtar

  • Umur – 53 tahun
  • Pendidikan – SPM
  • Mula berniaga – 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
  • Kekayaan -RM1,425 juta
  • Ke 7 terkaya di Malaysia
  • Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)

Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary TAN Sri Syed Mokhtar al-Bukhary adalah usahawan yang banyak menderma dan banyak melakukan kerja-kerja amal.

Latar belakang kehidupan

Tan Sri Syed Mokhtar dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951. Keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yemen. Sebelum mengambil keputusan menetap di Kedah, bapanya mengembara hingga ke Asia Tengah untuk berniaga. Seterusnya, bapanya ke Thailand. Pada pertengahan tahun 40-an, barulah bapa Tan Sri Syed Mokhtar mengambil keputusan menetap di Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1946, bapanya mendirikan rumah tangga. Tan Sri Syed Mokhtar mempunyai tujuh orang adik beradik dan dia adalah anak yang ketiga. Tan Sri Syed Mokhtar hidup dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkan beliau susah hendak menelaah. Walaupun demikian, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Keadaan itu juga mendorong beliau supaya memulakan kelas tuisyen percuma sebagai salah satu program kebajikan di bawah Yayasan al-Bukhary yang ditubuhkannya bagi menyumbang ke arah kebajikan. Kini, seramai 15,000 orang pelajar mendapat faedah daripada program tuisyen itu.

Pendidikan

Tan Sri Syed Mokhtar memulakan persekolahannya di Alor Setar tetapi apabila beliau berusia 9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama-sama dengan bapa saudaranya, Syed Omar di Johor Bahru. Beliau berada di situ dari darjah empat hinggalah ke tingkatan dua. Tan Sri Syed Mokhtar kemudiannya kembali ke kampung halamannya di Alor Setar dan menyambung persekolahannya hingga ke tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal’s. Sebenarnya, Tan Sri Syed Mokhtar bukanlah orang yang berpendidikan tinggi. Beliau tidak pernah belajar hingga ke peringkat universiti. Namun, ini tidak bermakna beliau seorang yang tidak berilmu. Kebanyakan ilmunya diperoleh melalui pengalaman secara langsung apabila beliau bergiat dalam dunia perniagaan sejak kecil lagi.

Membantu keluarga

Disebabkan keadaan keluarganya yang kurang berkemampuan, Tan Sri Syed Mokhtar membantu ibunya menanam sayur-sayuran bagi menampung pendapatan keluarga. Mereka menjualnya di pasar di Jalan Telok Wan Jah. Beliau juga menjual roti canai di pasar yang sama. Semasa waktu rehat di sekolah pula, ayahnya akan menemuinya di sekolah dan memintanya membuat simpan kira. Selepas waktu sekolah, Tan Sri Syed Mokhtar membantu menggembala haiwan peliharaan bapanya di pusat kuarantin berdekatan dengan stesen kereta api Alor Setar. Beliau banyak menimba ilmu dan pengalaman semasa melakukan kerja-kerja itu.

Mula berniaga

Pada tahun 1970-an, perniagaan binatang ternakan bapanya mengalami kemerosotan ekoran tercetusnya wabak kaki dan mulut. Wabak itu merebak ke seluruh Selatan Thailand, Kedah dan Perlis. Semua binatang ternakannya mati begitu sahaja. Sejak itu, Tan Sri Syed Mokhtar mengambil alih perniagaan bapanya dan membuat keputusan untuk tidak lagi melibatkan diri dalam bidang penternakan. Beliau mula menjual daging secara kecil-kecilan. Sebenarnya, Beliau pergi dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar bagi membeli daging yang tidak terjual. Beliau kemudiannya membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. Beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan. Daripada perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A. Beliau mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA yang digunakannya bagi membeli dua buah lori Mercedes 911LS. Sebenarnya, seorang peniaga Cina menawarkan sejumlah wang bagi baki dua permit yang tidak digunakannya. Tan Sri Syed Mokhtar enggan dan menyerahkan permit itu kembali kepada MARA. Selepas membeli dua buah lori itu, Tan Sri Syed membuka syarikat pengangkutan yang dinamakan Syarikat Pengangkutan Sentosa dan melantik kerani Cina sebagai pengurus syarikatnya itu. Tan Sri Syed Mokhtar menggunakan lori-lorinya bagi memulakan perniagaan beras. Syarikat Kenderaan Sentosa masih wujud sehingga ke hari ini dan memiliki lebih daripada 40 buah lori.

Menubuhkan syarikat

Pada tahun 1974, Tan Sri Syed Mokhtar membeli rumah kedainya yang pertama di Jalan Telok Wan Jah di bawah perjanjian sewa beli dengan UDA atau Perbadanan Kemajuan Bandar. Seterusnya, pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dia berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor. Selepas berjaya dengan Syarikat Shah, beliau menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala Chong Tan pula pengilang beras. Dalam syarikat usaha sama itu, Tan Sri Syed Mokhtar memegang 52 peratus kepentingan manakala Ghiak Gee dan Chong Tan masing-masing 32 peratus dan 16 peratus. Perniagaan usaha sama yang diberi nama Bukhary Sdn. Bhd. itu memulakan operasinya pada 15 Julai 1976, di pejabatnya di Jalan Telok Wan Jah.

Perniagaan terus berkembang

Daripada beras, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain, iaitu gula. Ini masih dijalankan sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd. Pendapatan tahunan Bukhary Sdn. Bhd. kini mencecah RM250 juta. Setahun selepas Bukhary Sdn. Bhd. memulakan operasinya, beliau menubuhkan Bukhary (KL) Sdn. Bhd. pada tahun 1977. Syarikat itu ditubuhkan khas bagi mendapatkan kontrak kerajaan yang pada masa itu banyak ditawarkan kepada usahawan Bumiputera. Operasi Bukhary (KL) Sdn. Bhd. dijalankan di rumah kedai empat tingkat di Jalan Pahang yang juga dibeli melalui perjanjian sewa beli dengan UDA. Usahanya membuahkan hasil lagi. Tan Sri Syed Mokhtar diberikan kontrak bagi membekalkan beras, teh, tepung coklat, tepung susu dan juga minyak sapi kepada kerajaan. Bahagian bawah pejabatnya diubah suai menjadi pusat pembungkusan. Apabila beliau mendapat kontrak pembekalan itu, Tan Sri Syed Mokhtar menubuhkan Susu Mas Sdn. Bhd. pada tahun 1979. Syarikat itu juga adalah syarikat usaha sama di antara dirinya yang memegang 51 peratus kepentingan dengan New Zealand Milk Products yang memegang saham selebihnya. Produk Susu Mas Sdn. Bhd. dipasarkan di bawah jenama Fernleaf dan Anchor. Pada pertengahan tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar menjual kepentingannya dalam Susu Mas Sdn. Bhd. ekoran kemelesetan ekonomi.

Strategi tersendiri

Pada tahun 1978, beliau dijemput menyertai delegasi perdagangan ke Ekso Perdagangan Canton, China. Semasa berada di China, Tan Sri Syed Mokhtar menjalankan sistem barter, iaitu menukarkan kokonya dengan teh dari China. Cuma bezanya sistem barter zaman sekarang dijalankan secara besar-besaran atau pukal. Contohnya, menukarkan 1 tan minyak sawit dengan 1 tan minyak mentah.

Perniagaan pakaian

Selepas mengembangkan perniagaannya bermula daripada bidang komoditi ke pengangkutan, pembungkusan dan barter, beliau kemudiannya melangkah kepada sektor pembuatan. Ini ekoran kejayaannya mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Kontrak itu adalah bagi membekalkan pihak tentera dengan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam. Apabila berjaya mendapat kontrak itu, beliau mula mencari pembekal. Pada mulanya, beliau membeli secara terus daripada pengilang. Selepas membeli daripada pengilang, beliau kemudiannya membuat keputusan menubuhkan dua buah syarikat, iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Oriental Garments Uniform Division adalah syarikat usaha sama dengan Oriental Garment yang berpusat di Seberang Prai. Apabila Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian yang diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagi mengeluarkan dan memasarkan pakaian berjenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.

Perniagaan perkapalan

Tidak cukup dengan perniagaan pakaian, beliau juga bergiat dalam perniagaan perkapalan. Beliau menubuhkan Bukhari Shipping dan mendaftarkannya dengan pihak Perbendaharaan. Bukhari Shipping bertindak sebagai broker kapal di bawah polisi CABOTAGE. Melalui Bukhari Shipping, Tan Sri Syed Mokhtar membeli sebuah kapal buatan Jerman yang berusia 28 tahun pada harga USD1 juta. Kapal yang diberi nama Angsa Mas itu digunakan bagi mengangkut beras dari Thailand ke Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, perniagaan itu mengalami kerugian yang menyebabkan beliau terpaksa menjual kapalnya pada harga USD600,000, iaitu rugi sebanyak USD400,000 (USD1 juta – USD600,000). Pada masa yang sama, beliau mula membabitkan diri dalam sektor pembangunan hartanah. Beliau membeli beberapa bidang tanah di Alor Setar dan memulakan beberapa projek perumahan di bawah syarikat Bukhary Development.

Penglibatan dalam projek penswastaan

Beliau terlibat dalam projek penswastaan Johor Port Sdn. Bhd. dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn.Bhd. Beliau membeli Johor Port melalui tender pada harga RM330 juta. Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd. pula dibelinya pada harga RM135 juta. Melalui Johor Port Sdn. Bhd., beliau menjayakan projek Pelabuhan Tanjung Pelepas. Kini, Pelabuhan Tanjung Pelepas semakin maju hingga mereka berjaya meyakinkan dua buah syarikat perkapalan antarabangsa, iaitu Maersk Sealand dari Denmark dan Evergreen Marine dari Taiwan supaya berpindah dari Pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas. Projek penswastaan ketiganya adalah penswastaan air yang mana beliau menubuhkan Equiventure Sdn. Bhd., iaitu syarikat usaha sama di antara syarikatnya, Kembangan Dinamik dan Pilecon Bhd. serta syarikat Perancis, Oneo. Pegangan Kembangan Dinamik dalam syarikat itu adalah sebanyak 49 peratus.

Kepentingan

Beliau membeli MMC Corporation, iaitu syarikat kejuruteraan pada harga RM3 sesaham daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB). Tan Sri Syed Mokhtar juga memiliki 22.7 peratus pegangan dalam Malakoff Berhad, iaitu syarikat pembekalan elektrik dan 20 peratus pegangan dalam IJM Corporation Berhad di mana perniagaan utamanya adalah pembuatan. Selain itu, beliau memiliki 18 peratus pegangan dalam Bernas yang terlibat dalam perdagangan beras dan 32 peratus pegangan dalam Pernas International Holdings Berhad, iaitu konglomerat yang terlibat dalam banyak sektor perniagaan. Manakala 18.7 peratus pegangan dalam Fiamma Holdings Berhad, syarikat pemasaran dan pengedaran barangan elektronik serta 100 peratus kepentingan dalam MPH, iaitu syarikat peruncitan dan pengedaran buku.

Masjid Albukhary Alor Setar Kedah

Masjid Albukhary Alor Setar Kedah

Objektif penubuhan Yayasan al-Bukhary

Yayasan al-Bukhary ditubuhkan pada Mac 1996 sebagai badan kebajikan yang berperanan membantu golongan miskin, menyokong perkembangan seni dan budaya Islam dan juga menggalakkan persefahaman antara peradaban. Antara objektif utama Yayasan al-Bukhary adalah menggalakkan persaudaraan sesama Islam. Yayasan ini terdiri daripada dua buah bahagian. Satu bahagian menjalankan kerja-kerja kebajikan manakala satu bahagian lagi menguruskan penyaluran dana daripada setiap syarikat yang mana Tan Sri Syed Mokhtar ada kepentingan di dalamnya. Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Selain itu juga, Yayasan al-Bukhary hanya membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin dari serata ASEAN supaya belajar di Malaysia.

Projek-projek utama Yayasan al-Bukhary

Antara projek terbesar yang sedang dijalankan adalah pembinaan Kompleks al-Bukhary yang bernilai RM400 juta di Kedah yang dijangka siap pada akhir tahun 2004. Kompleks itu kelak memainkan peranan sebagai kompleks yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim, akademi khas bagi warga tua dan pusat pengajian tinggi. Antara projek besar yang disiapkan adalah Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur yang bernilai RM100 juta. Muzium empat tingkat itu adalah muzium pertama di rantau Asia Pasifik yang memaparkan hasil seni Islam. Yayasan al-Bukhary juga membina 12 buah masjid di serata negara. Sumbangan dalam bidang pendidikan Pada tahun 2000, Yayasan al-Bukhary mendermakan sejumlah RM7.75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia. Yayasan al-Bukhary juga kini sedang membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam projek bagi mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah. Selain itu, Yayasan al-Bukhary juga sering mengadakan dialog peradaban bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman antara masyarakat berbilang agama dan kepercayaan. Penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang dimulakan oleh bukan Islam juga terserlah. Walaupun Yayasan al-Bukhary lebih menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh

Tokoh MaalHijrah

Tokoh MaalHijrah

organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary menyumbang sebanyak RM satu juta bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana bagi menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu.

Tan Sri Syed adalah usahawan Bumiputera yang terkaya di Malaysia dengan kekayaan yang bernilai RM1.67 bilion.

SUMBER DARI : http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=546